December 9, 2011

mak dan bapa

sebagai anak, tak mungkin kita dapat membayar balik perit jerih ibu bapa yang berusaha membesarkan kita. di sini, aku coretkan pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa ku sendiri membesarkan kami tiga adik-beradik.

masa kecil, mak akan cari ustazah untuk mengajar kami membaca al-Quran. yang paling aku ingat, semasa di ipoh, ustazah akan datang mengajar di rumah. ustazah selalu datang naik motor. kadang-kadang, aku memang akan balik lambat sebab waktu petang dihantar ke sekolah agama. sengaja balik lambat sebab nak main dengan kawan. kesian ustazah tunggu lama. kecil-kecil dah terikut 'malaysian time' secara tak sedar. 

kalau di taiping, kena pergi rumah ustazah mengaji. bukan jauh pun, lorong yang sama je. tapi nak bergerak tu. ish, ish, payah benar. dah la kena pergi awal untuk beratur ambil giliran mengaji. lepas maghrib tu, memang terus bergegas. bergegas bukan sebab nak mengaji. bergegas sebab nak sampai awal, baca awal dan boleh balik awal. entah rancangan tv apa yang dikejar masa itu. 

pabila malas, memang akan kena marah dengan mak. masa tu rasa "kenapalah mak suka paksa! menyampah!". bila dah tua sikit, baru sedar kepentingan mentadabburkan kalam Tuhan ini. teringat kesedihan para sahabat apabila mendapat tahu Rasullulah s.a.w akan wafat. akan terputuslah segala hubungan istimewa mereka secara langsung dengan alam syurga. 

kata mak, semua anak-anak mak kena pandai mengaji Quran. sedih bila teringat ni. dulu selalu main-main. ajaran tentang kepentingan agama diajar kepada kami secara tidak langsung oleh mak. terima kasih mak. semoga syurga menjadi milikmu di sana nanti.

tentang bapa pula. aku tahu bapa memang selalu berusaha menjadi ayah yang terbaik. sebab, ayahnya sendiri pergi menghadap Penciptanya ketika bapa baru 9 tahun. hidup tanpa ayah memang susah. 

bapa hidup susah dari kecil. bapa anak lelaki sulung. bapa selalu cerita dulu, pagi-pagi akan bangun untuk tolong nenek menoreh getah. dan selepas tu, kena berjalan atau berbasikal untuk belajar di sekolah. aku pernah pergi kampung bapa. jarak dari rumah yang jauh di dalam estet memang jauh dengan bandar. rasa macam picisan sahaja usaha-usaha yang tak seberapa aku buat selama ini dalam urusan menuntut ilmu. 

kalau waktu cuti sekolah itu, kerja memang wajib. adik-beradik bapa 5 orang. yang lelaki dua orang sahaja. jadi bantuan dari anak-anak memang sangat diperlukan oleh nenek. 

kalau pasal bapa, dia tak pernah lokek nak keluar duit bila waktu nak membeli buku-buku. terutamanya buku sekolah. dulu aku memang suka nak beli buku latihan sekolah. azam tahun baru kan selalu macam tu. mula-mula nak masuk sekolah tu, kalau boleh semua latihan nak buat. tapi bapa masih lagi setia mengeluarkan wang kalau bab nak beli buku atau apa-apa yang berkaitan dengan pelajaran.

bapa dan mak memang amat mementingkan pelajaran dalam keluarga kami. mereka tahu nilai yang terletak dalam menuntut ilmu itu. terima kasih mak dan bapa. tanpa kalian, siapalah kami.

ibu dan ayah kita bukanlah manusia sempurna. janganlah mengharapkan kesempurnaan daripada manusia yang dicipta. hanya Yang Mencipta itu maha sempurna. hargailah ibu bapa kita selagi mereka masih bersama kita. doakanlah mereka. bantulah mereka. sentiasalah menziarahi mereka. jangan sesekali menilai mereka. bukan senang nak jadi mak dan bapa. tahulah kita bahawa mak dan bapa telah berusaha sebaik kemampuan mereka. mereka berusaha menjadi ibu bapa yang terbaik untuk kita. hargailah usaha mereka itu. dan bukankah Allah tahu apa yang terbaik untuk kita?

jika dulu kau anak derhaka yang tak kenang budi, berubahlah. jadilah peredup hati mak dan ayahmu. janganlah disakiti mereka. sayangilah mereka. yang paling penting, doakanlah syurga dunia dan akhirat untuk mereka.

Tuhan di langit, bantulah aku untuk menjadi anak yang terbaik untuk ibubapa ku, dan bantulah aku membantu ibu bapaku.

"Ya Hafiz, sayangilah ibu bapaku sebagaimana mereka menyayangi dan memeliharaku semasa aku kecil! dan kekalkanlah mereka dalam agamaMu, dan berikanlah mereka taufik dan hidayah."

No comments: